DIREMPUH DAN DISERET :- Dua Sahabat Maut
Dua sahabat maut selepas dirempuh dan diseret sebuah kereta yang terbabas di Kilometer 18, Jalan Paka-Bandar Al Muktaffi Billah Shah AMBS, dekat Ketengah Jaya, petang tadi.
Kedua-dua mangsa dikenali sebagai Kamariduan Mohamed, 41, dari Kampung Limbung Paka dan Mohd Rosdi Yaakob, 48, dari Ketengah Jaya.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah, berkata Kamariduan yang parah pada kepala meninggal dunia di tempat kejadian manakala Rosdi meninggal ketika menerima rawatan kecemasan di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, kira-kira jam 7 petang.
Beliau berkata, sebelum kejadian jam 5.15 petang itu, Kamariduan yang juga peniaga sayur dikatakan sedang menunggu bekalan sayur daripada penduduk di kampung itu.
Katanya, mangsa dikatakan bertemu dengan Mohd Rosdi yang bekerja di sebuah kedai perkakasan berhampiran sebelum mereka berdua berbual di sebelah sebuah kedai kotak yang terletak di tepi jalan itu.
“Secara tiba-tiba sebuah kereta yang dipandu lelaki berusia 25 tahun dari arah AMBS ke Paka dipercayai terbabas ke kiri jalan lalu merempuh kedai kotak terbabit dan turut merempuh kedua-dua mangsa.
“Rempuhan kuat ini menyebabkan kedua-dua mangsa serta kedai kotak itu diseret sejauh kira-kira 20 meter,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, peniaga kedai kotak terbabit terselamat kerana ketika kejadian, peniaga terbabit pulang ke rumahnya untuk solat.
“Pemandu kereta berkenaan hanya cedera ringan dan dirawat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya.
“Mayat kedua-dua mangsa yang parah di bahagian kepala dan badan itu dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut,” katanya.
Baharudin berkata, kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
kredit by bh online
