Petugas kesihatan ditemui meninggal dunia di pusat kuarantin


Seorang pembantu perubatan Kementerian Kesihatan ditemukan meninggal dunia di bilik rehatnya di tingkat dua, pusat kuarantin di King Centre, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah, berkata kakitangan berusia 28 tahun itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh rakan sekerjanya di bilik berkenaan kira-kira jam 7.07 malam.

Menurutnya, mangsa yang berasal dari Mukah ditugaskan ke pusat kuarantin terbabit sejak 2 Ogos lalu.

"Petugas kesihatan yang hadir bersama pihak polis di lokasi kejadian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia dalam tempoh lebih kurang tujuh jam sebelum disedari oleh rakan sekerjanya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahsmon berkata siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah, kesan pecah masuk atau kehilangan barangan milik mangsa.

Beliau menambah pemeriksaan lanjut pada badan mangsa turut mendapati tiada sebarang kecederaan.

Katanya mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk saringan COVID-19 serta bedah siasat.

Ahsmon berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi serta menghormati privasi keluarga mangsa.