Jalan Kaki Dari England Ke Mekah, Dijangka Tiba Di Mekah Sebelum Musim Haji Pada Tahun 2022

Jalan Kaki Dari England Ke Mekah, Dijangka Tiba Di Mekah Sebelum Musim Haji Pada Tahun 2022
Ketika niat sudah menjadi tekad, apa pun sanggup dilakukan. Misi suci seorang lelaki dari England bagi mengerjakan haji menjadi tular di media maya kerana hendak berjalan kaki dalam misi itu.
Jalan Kaki Tolak Troli 250 kg Dari England Ke Mekah
Dilaporkan oleh portal berita Birmingham Mail pada 16 Ogos, seorang lelaki dari England menjadi sensasi internet kerana melakukan misi untuk mengerjakan haji di kota suci Mekah dengan berjalan kaki secara solo sejauh 6,437 kilometer.
Adam Mohammed yang berasal dari bandar Wolverhampton, melakukan misi tersebut dengan hanya berbekalkan sebuah ‘troli’ yang dibinanya sendiri yang berfungsi sebagai ‘rumahnya’. Troli seberat 200 kilogram hingga 250 kilogram itu mengandungi makanan dan peralatan memasak serta akan menjadi tempat tidurnya untuk pengembaraan selama setahun itu.
Beliau akan melalui beberapa negara dalam 3 musim yang berbeza bersama dengan ‘rumahnya’. Dia berterima kasih kepada peniaga tempatan yang membantunya membina rangkakerja troli tersebut.
Adam berkata, “Apabila saya membina troli ini mereka bertanya tujuan saya untuk troli ini? Apabila saya memberitahu mereka saya hendak pergi haji kerana sebagai Muslim saya mesti pergi sekali dalam seumur hidup. Dengan pantas mereka memberitahu saya mereka akan membinanya secara percuma kerana kebajikan. Saya sangat bersyukur untuk itu.”
Telah Memulakan Misi Pada 2 Ogos 2021
Berdasarkan akaun TikToknya, @peacejournyfromuktomecca, Adam memulakan perjalanannya pada 2 Ogos lepas. Pada awal minggu ini, seorang pengguna memberitahu bahawa dia meihat lelaki itu berjalan di bandar Coventry, England.
Ketika melalui negara itu sahaja, Adam berjaya mengumpul lebih 400,000 pengikut di TikTok dan 2.8 juta tanda suka daripada pengguna yang kagum dengan semangatnya. Meskipun terpaksa meninggalkan isteri dan dua anaknya, lelaki itu tetap bersemangat tinggi dan berkongsi kisah perjalanannya setiap hari secara live.
Ramai Membantu
Ketika dalam perjalanan, dia turut menerima pelbagai bantuan termasuk makanan daripada penduduk setempat selain sumbangan wang tunai daripada orang ramai yang dibuat menerusi kutipan dana. Ketika hendak melintas jalan yang sibuk, ada polis datang membantunya menolak troli melintas jalan tersebut.
Ada juga pengikut di TikTok beliau yang datang daripada Scotland untuk berjumpa Adam semasa dalam perjalanan dan memberitahu beliau sangat terinspirasi dengan Adam. Lelaki tersebut sanggup memandu dan tidak tidur malam untuk berjumpa dan berdoa bersama Adam dan mendoakan beliau dalam perjalanannya ke Mekah.
Kisah tentang Adam juga menyentuh hati ramai orang bukan Islam. Mereka menghantar video yang memuji Adam atas nilai dedikasi dan komitmen tanpa takut dalam mencapai matlamat.
Bukan Kerana Wang Atau Populariti
Berdasarkan keterangan pada laman web kutipan dana tersebut, seorang individu yang pernah bercakap dengan Adam memberitahu, lelaki itu melakukan misi tersebut bukan kerana wang atau populariti. “Dia ingin memberitahu kepada semua orang di seluruh dunia bahawa kita semua adalah sama dan tiada sesiapa yang lebih baik daripada orang lain,” katanya.
Dijangka Tiba 2022
Adam dijangka tiba di Mekah sebelum musim haji pada tahun 2022. Beliau memohon sokongan dan doa daripada semua agar perjalanannya dipermudahkan. Semoga beliau berjaya dan selamat dalam misinya berjalan kaki mengerjakan haji dan kembali pada keluarganya dengan selamat. Aamiin.
Sumber: my pendidik